Thursday, January 17, 2013

Celoteh Yana : Part 96 - Hebatnya Seorang Wanita

Hebatnya Seorang Wanita
-----------------------------

” kalau beginilah sakitnya melahirkan anak, cukuplah kali ini. Sayang tak perlu mengandung lagi sebab abang tak sanggup nak tengok..”

Salah satu dialog dalam sebuah kisah, yang saya sendiri lupa dari mana saya baca. Yang pasti, kisah itu pernah dibaca sewaktu saya masih bujang. Saya berfikir sendiri, sakit sangatkah proses kelahiran itu? Dan saya pasti, bukan saya seorang berfikir seperti itu.

Hari ini, selepas sembilan bulan.
Sedar tak sedar, kandungan isteri sudah berada di trimester terakhir, bahkan sudah berada dalam fatrah boleh bersalin bila-bila masa sahaja. Tarikh secara rasmi pula hanya berbaki dua hari. Dan saya, menjadi peneman setia kepada segala apa yang dilalui oleh isteri sepanjang tempoh mengandung. Sekaligus, saya mendapat jawapan kepada semua soalan saya ketika bujang.

Lalu saya pernah menulis tentang keperitan yang dirasai oleh beliau. Daripadabraxton hicks contraction sehinggalah sakit-sakit seluruh badan, hakikatnya saya dan kaum saya sama sekali tidak akan mampu menyelami kesakitan tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lalu timbul satu lagi persoalan, mengapa Allah takdirkan mengandung itu hanya untuk perempuan?

Firman Allah ta’ala :

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang bathil, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? [ An Nahl : 72 ]

Menjadi hikmah Allah, tidak ada lelaki yang boleh mengandung walau sehebat mana pun dia. Dan menjadi hikmah Allah juga, hanya wanita boleh mengandung walau selemah mana pun mereka. Tentunya, Allah lebih tahu, siapa yang lebih mampu untuk menanggung beban dan amanah tersebut.
Merenung kehebatan Allah ini, banyak iktibar yang boleh diambil.

KEKUATAN DAN KEINGINAN MENYUMBANG
------------------------------------------------
Di hadapan mata saya, seorang wanita membuktikan hakikat tersebut. Ketabahan dan kesabarannya selama sembilan bulan, menyedarkan saya bahawa ‘kekuatan’ itu ukurannya bukan pada tenaga fizikal semata-mata. Tetapi kekuatan hati dan tekad dalam diri mereka.

Kaum wanita, adalah kaum yang cukup istimewa. Cara mereka berfikir dan bertindak, adakala jauh lebih baik dari lelaki. Hasil kerja mereka seringkali lebih kreatif dan teliti. Paling hebat, komitmen mereka terhadap cinta dan kasih sayang dalam kehidupan.

Akhir-akhir ini, saya sendiri tidak sanggup melihat kesakitan yang dialami tatkalacontraction menyerang. Belum lagi tentang sakit pinggang, sakit kaki dan sakit belakang, akibat membawa beban berkilo-kilo selama berbulan-bulan. Namun dia bukan seorang yang cepat mengalah dan memilih untuk berada di pembaringan. Kudratnya tetap dikerah meskipun ditegah. Keinginannya untuk menyumbang adakala membuatkan saya pasrah.

Lantas teringat perbualan dengan seorang teman tidak lama dahulu. Waktu itu saya bertanya perasaannya setelah bergelar bapa.

” Memang penat. Namun penat menguruskan si kecil jauh lebih ringan berbanding penat ‘menguruskan’ isteri..”

Di awalnya, saya tidak dapat menangkap maksud tersirat. Rupanya, sesetengah wanita berperang dengan tekanan tersendiri selepas bersalin, iaitu tekanan kerana tidak dapat menyumbang dan meringankan bebanan. Daripada menguruskan diri, menguruskan rumah dan menguruskan bayi, kesemuanya terbeban di atas bahu suami. Isteri di waktu itu tidak mampu melakukan kerja, perlu banyak berehat apatah lagi jika masih terkesan dengan rasa sakit.

Jika kurang ketahanan dan motivasi, isteri boleh mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangan, biarpun suaminya mampu melakukan semua pekerjaan. Situasi ini akan merumitkan keadaan jika ianya berlarutan.

Mengingatkan ini, saya beristighfar berkali-kali. Wanita itu, sudah sembilan bulan menanggung beban. Sudah berpuluh kali menahan kesakitan. Dan nantinya, bertarung dengan mati pula untuk proses kelahiran. Sedangkan saya sebagai lelaki, hanya mampu melihat dan memberi sokongan. Langsung tidak mampu merasai apa-apa kesakitan. Apakah setelah itu, di waktu tangisan si kecil sudah kedengaran, tubuh yang lemah itu juga hendak diletakkan beban?

Dia wanita yang kuat dan cekal. Bulan-bulan yang dilalui, hari-hari yang ditempuhi, menjadikan saya seolah-olah mahu angkat tabik kepada isteri. Alangkah jika semua itu ditanggung dan dirasai oleh lelaki, pasti dan pasti tidak akan mampu diharungi sehingga ke saat ini.

Lama sebelum ini, dengan yakin beliau menyatakan untuk mengkhatamkan Al-Quran, sebagai ‘hadiah’ untuk si kecil yang bakal lahir nanti. Berjuang dengan sakit dan menghabiskan masanya dengan Al-Quran, beberapa hari lepas dengan wajah berseri-seri dia memberitahu Al-Quran telah khatam dan meminta saya membacakan doa khatam Al-Quran untuknya.

Tekad dan semangat yang menakjubkan saya. Sedang yang sihat, Al-Qurannya tidak pula kunjung khatam.

TEMAN
--------
” Siapa akan jaga nanti berpantang? “

Itu soalan lazim dari sanak saudara di Malaysia, bila diberitahu tarikh bersalin sudah dekat. Dan saya, jujurnya tidak pernah memikirkan tentang itu secara serius. Saya tidak mengharapkan untuk orang lain jaga kerana saya ada. Tentunya tidak sama dengan keadaan di tanahair, di mana ada keluarga yang akan menjaga.

Memilih untuk bersalin di tanah arab, bererti bersedia menerima bahawa semua itu memang tidak ada.
Namun Allah datangkan juga insan-insan yang baik hati memberikan perhatian dan pertolongan. Saya terkesan dengan seorang sahabat kepada isteri, berpangkat adik. Meskipun tidak kenal rapat sebelumnya, namun begitu akrab dengan kami. Dari kacamata saya, tingkahlaku seseorang itu sudah cukup mencerminkan keikhlasannya. Pertolongan yang dihulur dan perhatian yang diberi, benar-benar menjadikan kami senang hati.

Isteri meluahkan rasa terharu dan saya tersenyum. Bukan semua orang punya hati seperti itu. Menolong orang tak mengira siapa dan sanggup bersusah payah untuk orang lain biarpun diri sendiri banyak kerja. Yang ramai, waktu senang datang bertempek namun tika perlukan pertolongan, menjauh entah ke mana.

Saya doakan, insan-insan seperti ini diberikan pertolongan dan rahmat berpanjangan dari Allah ta’ala. Saya teringat satu hadith Nabi s.a.w bersabda :

” Dan sesungguhnya Allah sentiasa akan menolong hambaNya, selagi mana hambaNya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain“

MOTIVASI
------------
Dalam tidak sabar menunggu tangisan si kecil kedengaran, saat-saat getir sebelum proses kelahiran juga perlu diberi perhatian. Mahu berada di situ, perlukan motivasi dan semangat yang kuat. Dan saya dan keluarga, tidak putus memberikan semangat kepada isteri. Kini contraction sudah semakin kerap, dan berkemungkinan akan bersalin sedikit masa lagi.

Melihat wajahnya saja, saya yakin akan kekuatan dari dalam diri wanita tersebut. Nantinya akan ku bisikkan kepada si anak, bahawa ibumu adalah seorang pejuang yang penuh kental dengan keazaman. Dan catatan ini kelak akan menjadi tatapan, apabila engkau sudah dewasa dan mula mengenal erti kehidupan.






sumber : Facebook

6 comments:

BERT said...

aiseh.. saya dah tertinggal episod nampaknya

Fieda Rafli said...

singgah di petang hari..salam kenal..

::EIDA:: said...

hebatnya sayeee! ;p

IntaNBerliaN said...

tiba2 lak akak rs sedih, tingat pengorbanan mak..

*oo yana dah beli yer.. wangikan.. heheh best je guna :-)

Belinda Adzmi Ibu Ilhamny said...

sedih pulak baca cerita nih...terkenang dulu2..

Fifi Nadhrah said...

sayu je bace cerite ni.. semoge kite diberi peluang untuk merase ni semue..

Perjalanan Untuk Menjadi Seorang Ibu :)

1st pregnancy
MC : 22.2.2012 (5-6weeks)

2nd pregnancy
MC : 10.5.2012 (4-5weeks)

"Tarikh Bendera Merah Dinaikkan"
OCT : 30.9.2012 - 8.10.2012 (CD40)

NOV : 9.11.2012 - 17.11.2012 (CD38)

DEC : 16.12.2012

3rd pregnancy
UPT + : 27.1.2013 (CD43 DPO18)
BERSALIN PADA : 25.09.2013 @ 9.38pm